Google Year in Search 2024 : Rakyat Malaysia Memang 'Kaki Cari'
Dengan 2024 bakal melabuhkan tirainya, Google baru-baru ini mengeluarkan laporan Year in Search yang menyenaraikan apa yang rakyat Malaysia sibuk cari sepanjang tahun ini. Menariknya, sukan mendominasi carian dengan tiga daripada lima carian tertinggi berkait rapat dengan sukan.
Euro 2024: Tempat Pertama di Hati Peminat Sukan
Carian paling popular tahun ini ialah Euro 2024 yang berlangsung di Jerman. Tak pelik kalau rakyat Malaysia sanggup berjaga malam atau bangun awal pagi semata-mata nak tengok perlawanan pasukan kegemaran mereka. Kalau yang “terlajak tidur,” mereka akan pantas cari keputusan perlawanan atau tonton siaran tertunda.
Tak cukup dengan itu, Piala Asia dan Olimpik 2024 turut tersenarai di tempat keempat dan kelima. Bukti jelas, Malaysia memang negara peminat sukan!
Sumbangan Tunai Rahmah & Padu: Rakyat Peduli Bantuan
Di tangga kedua, Sumbangan Tunai Rahmah 2024 menjadi carian paling hangat dalam kategori berita. Ini menunjukkan rakyat Malaysia cukup peka dengan bantuan kerajaan.
Tempat ketiga pula milik Pengkalan Data Utama (Padu), satu inisiatif kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia melengkapkan maklumat penting mereka. Kedua-dua topik ini membuktikan bahawa rakyat sentiasa mencari info relevan yang boleh membantu kehidupan seharian.
Filem & Drama Pilihan 2024
Dalam dunia hiburan, filem Inside Out 2 menjuarai carta carian, diikuti Deadpool dan Vina Sebelum 7 Hari.
Bagi kategori drama pula, Queen of Tears dan Marry My Husband dari Korea Selatan menjadi pilihan utama, manakala drama Hong Kong The Heir to the Throne melengkapkan carta top 3.
Nama-Nama Hangat di Google
Artis tempatan seperti Ruhainies dan Aliff Aziz menarik perhatian ramai, masing-masing berada di tangga pertama dan ketiga dalam kategori ‘orang’. Cerita panas mereka awal tahun ini nampaknya terus kekal di ingatan rakyat.
Di tangga kedua, jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, menunjukkan semangat patriotisme rakyat terhadap atlet negara masih tinggi.
Carian Mengenai AI: Teknologi Jadi Tumpuan
Dalam kategori alat kecerdasan buatan (AI), carian tentang AI characters berada di puncak, diikuti oleh Bing Image Creator dan Gemini. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin celik teknologi dan ingin memahami perkembangan dalam dunia AI.
Post a Comment