Wanita Perancis Tertipu €830,000 Akibat Penyamaran 'Brad Pitt' Palsu
Seorang wanita Perancis, Anne, menjadi mangsa penipuan dalam talian setelah mempercayai dia menjalinkan hubungan romantik dengan aktor Hollywood terkenal, Brad Pitt. Kisahnya mengejutkan ramai apabila dia kehilangan simpanan bernilai €830,000 (RM3.85 juta) kepada individu yang menyamar sebagai pelakon tersebut.
Anne, seorang pereka dalaman berusia 53 tahun, berkongsi pengalamannya dalam rancangan Seven to Eight di saluran TF1. Penipu menggunakan akaun palsu di media sosial dan WhatsApp untuk meyakinkan Anne bahawa dia berkomunikasi dengan Pitt. Teknologi kecerdasan buatan (AI) juga digunakan untuk mencipta mesej dan swafoto palsu bagi memperkukuhkan penyamaran itu.
Penipu mendakwa Pitt memerlukan bantuan kewangan untuk rawatan buah pinggang dan menyatakan akaun banknya dibekukan akibat proses perceraian dengan Angelina Jolie. Malangnya, Anne yang mengalami masalah kesihatan mental terpedaya dengan cerita itu selama lebih setahun.
Tragedi ini bukan sahaja menyebabkan Anne kehilangan wang simpanannya, malah rumah tangganya turut musnah apabila dia bercerai dengan suaminya. Kebenaran hanya terbongkar apabila berita mengenai hubungan sebenar Brad Pitt dengan teman wanitanya, Ines de Ramon, tersebar.
Kisah Anne mendapat perhatian ramai selepas wawancaranya disiarkan, tetapi pihak TF1 memutuskan untuk menarik semula siaran itu bagi melindungi mangsa daripada gangguan dalam talian. Anne kini sedang menjalani rawatan hospital akibat kemurungan.
Sumber : Sinar Harian
Post a Comment