Jalaluddin Hassan Berehat dari Dunia Seni untuk Fokus Beribadah
Pelakon veteran tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan, yang bakal mencecah usia 71 tahun Februari ini, memutuskan untuk berehat seketika daripada dunia hiburan. Keputusan ini dibuat bagi memberi tumpuan kepada ibadah, termasuk menunaikan umrah bulan ini dan seterusnya haji pada musim akan datang.
![]() |
Sumber Gambar : The Star |
Menurut Jalaluddin, keputusan ini lahir selepas beliau melakukan solat istikharah dan mendapat keyakinan untuk tidak menangguhkan niat tersebut.
“Kalau bukan sekarang, bila lagi? Banyak alasan boleh diberi, tetapi sampai bila? Selepas istikharah, saya dapat rasa inilah masanya,” katanya.
Jalaluddin berkongsi bahawa beliau akan mengerjakan umrah dan haji bersama isterinya, Datin Rapidah Abd. Ghani. Walaupun terpaksa menggunakan perkhidmatan syarikat swasta untuk ibadah haji, beliau tidak kisah dengan kos yang lebih tinggi. “Yang penting, saya dapat fokus kepada ibadah di sana,” tambahnya.
Pengalaman Pertama Sebagai Teraju Utama Teater
Sebelum berehat, Jalaluddin sempat memegang watak utama dalam pementasan teater Seorang Tua Di Kaki Gunung. Ini merupakan karya prolifik Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang diarahkan oleh Dr. Norzizi Zulkifli.
“Saya agak terkejut apabila ditawarkan watak utama ini. Masa untuk latihan pun tak banyak, hanya kurang seminggu. Tapi saya cuba buat yang terbaik. Penonton yang menilai,” katanya sambil tersenyum.
Walaupun kini kurang aktif berlakon, Jalaluddin lebih banyak melibatkan diri dalam kempen kesihatan dan menjadi duta produk. Namun, peluang kembali ke pentas teater dianggapnya sebagai pengalaman berharga sebelum memberi fokus sepenuhnya kepada kehidupan beribadah.
Semoga Datuk Jalaluddin Hassan dipermudahkan dalam setiap langkahnya dan terus menjadi inspirasi buat ramai.
Sumber : Kosmo
Post a Comment