Isteri Along Cham Lapor Polis, Dakwa Ditipu RM95,180
Isteri kepada pelawak terkenal, Along Cham, iaitu Afreena Suhaimi, baru-baru ini membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika, kerana didakwa menipu sebanyak RM95,180. Menurut Afreena, wang tersebut diberikan dengan harapan untuk membantu membebaskan suaminya yang sedang ditahan.
Afreena hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk membuat laporan dan yakin kebenaran akan terbongkar tidak lama lagi. Dalam laporan tersebut, Afreena turut berkongsi bukti tangkap layar perbualan dengan seorang individu yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan yang sama.
Tak lama selepas itu, personaliti media sosial, Siti Jamumall, turut membuat laporan polis di Setia Alam. Siti yang berusia 27 tahun mengaku telah menyumbang RM33,000 kepada Afreena, sebagai tanda simpati terhadap situasi yang sedang berlaku.
“Walaupun saya tak kenal Afreena secara peribadi, saya hanya mahu bantu dia bebaskan suaminya. Tapi saya tak campur urusan rumah tangga mereka. Yang penting, ada bukti wang RM95,180 masuk ke akaun tertentu,” kata Siti.
Sebelum ini, Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, mendakwa isterinya menyeleweng hampir RM100,000 daripada sumbangan yang diterima rakan-rakan artis, termasuk pelakon Aaron Aziz. Along juga berhasrat untuk memfailkan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang dalam waktu terdekat.
Sekadar info, Along berkahwin dengan Afreena pada 4 April 2024 selepas sembilan tahun menduda. Sebelum itu, perkahwinan pertama Along dengan Zila Saeron berakhir pada September 2016.
Sumber : Kosmo
Post a Comment