Header Ads

KKM Batalkan Notifikasi Lima Produk Kosmetik Berbahaya

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini telah membatalkan notifikasi untuk lima produk kosmetik yang didapati mengandungi bahan berbahaya dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini. Produk-produk tersebut adalah Molly Care Night Cream dan Karisma Brightening Day Cream yang didapati mengandungi merkuri, serta Ufora Advance Repair Solution yang mengandungi hidrokuinon.

Selain itu, Pinkkiss Beauty Care Herbal Cream juga dikesan mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate, manakala Pinkkiss Beauty Care Treatment Cream pula mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

KKM menegaskan bahawa produk-produk ini kini dilarang di pasaran dan pengguna yang masih menggunakan produk tersebut disarankan untuk segera menghentikan penggunaannya. Mereka juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang kesan sampingan.

Pihak penjual dan pengedar produk-produk ini juga diminta untuk menghentikan semua aktiviti penjualan dan pengedaran, berikutan pelanggaran Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Produk yang mengandungi bahan-bahan seperti hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan pengawasan profesional. Penggunaan tanpa bimbingan pakar boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini. Antaranya, hidrokuinon boleh menyebabkan kulit merah, tidak selesa, perubahan warna kulit, dan hipersensitiviti, sementara tretinoin pula boleh menyebabkan kulit menjadi merah, pedih, mengelupas, dan sensitif terhadap cahaya matahari. Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan kulit menjadi nipis, iritasi, dan berjerawat.

Sumber : Harian Metro

Dikuasakan oleh Blogger.