Header Ads

Penduduk Taman Mawai Penat Berdepan Bencana Tahunan

Penduduk Taman Mawai kembali berdepan banjir yang melanda kawasan mereka pada Jumaat lepas, sekali lagi merosakkan pelbagai barangan rumah termasuk perabot. Kejadian ini menimbulkan rasa letih dan kecewa dalam kalangan penduduk yang sudah bosan dengan masalah ini berulang setiap tahun.


Muhamad Aziq Abd Aziz, 24, meluahkan rasa kesal apabila tindakan penyelesaian yang diambil tidak efektif.

“Setiap kali banjir, banyak barang rumah rosak. Kami penat kena cuci dan kemas rumah balik. Masalahnya, sungai hanya didalamkan, bukan dilebarkan. Kawasan kami dah jadi tempat air bertakung,” katanya. Dia turut risau banjir ini akan terus mengganggu keselesaan penduduk, terutama dengan Ramadan yang semakin hampir.

Punca Utama: Perparitan Tidak Lancar

Menurut Abd Aziz Omar, 57, sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik antara punca utama banjir. Tindakan melebarkan Sungai Pemandi tanpa mendalamkannya hanya memburukkan keadaan.

“Masalah lain adalah jambatan di jalan besar yang sempit. Selagi tak dibesarkan, selagi itulah kawasan ini akan banjir,” jelasnya.

Penduduk Cuba Bersedia

Hadiah Jaafar, 53, pula berkongsi pengalamannya membuat persediaan awal apabila hujan bermula seawal jam 8 pagi.

“Masa hujan turun, saya dah mula kemas barang sikit-sikit. Bila tengok hujan makin lebat, saya angkat barang letak atas meja. Air mula naik sekitar jam 6 pagi, bukan dari sungai, tapi dari belakang Bukit Samsu,” katanya.

Penduduk berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk menangani masalah banjir ini, agar kehidupan mereka kembali selesa dan tidak lagi dibelenggu bencana tahunan ini.

Sumber : Sinar Harian

Dikuasakan oleh Blogger.