Header Ads

Pemuda Ikhlas Tawar Khidmat Pendawaian Percuma untuk Masjid dan Surau di Port Dickson

PORT DICKSON – Kisah seorang pemuda berusia 27 tahun, Fathir Muhammad Fakrullah Hisamudin, menjadi inspirasi ramai apabila beliau menawarkan khidmat pendawaian elektrik, servis alat pendingin hawa, dan mengecat masjid serta surau secara percuma di daerah ini.


Segalanya bermula apabila seorang imam menghubungi beliau untuk membaiki pendawaian di sebuah surau. Imam tersebut turut menceritakan bagaimana surau itu pernah ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kerja-kerja pendawaian. Kisah itu menyentuh hati Fathir, mendorongnya untuk menggunakan kemahiran yang dimiliki demi kebaikan rumah ibadah.

“Saya tidak sangka ada orang yang sanggup menipu untuk kerja di rumah ALLAH. Sejak itu, saya nekad membantu masjid dan surau secara percuma dengan syarat mereka sediakan perkakasan,” katanya.


Walaupun pada mulanya beliau berdepan cabaran membina nama dalam bidang pendawaian, sokongan isteri tercinta menjadi tunjang kekuatannya. Bermula dengan mengedarkan risalah dari rumah ke rumah di sekitar Port Dickson, usaha gigihnya kini membuahkan hasil.

“Saya percaya rezeki datang daripada ALLAH. Alhamdulillah, sekarang saya dalam proses membuka kedai sendiri dan jika tiada aral, bulan depan akan mula beroperasi,” tambahnya dengan penuh rasa syukur.

Bagi Fathir, sumbangan percuma ini bukan sahaja membantu masyarakat, tetapi juga menjadi peluang untuk mengumpul pahala. “Nak bantu dari segi kewangan saya tak mampu, tapi saya gunakan cara ini untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Keikhlasan Fathir dalam berkongsi kemahiran demi manfaat orang ramai wajar dijadikan contoh, membuktikan kebaikan mampu mencetus perubahan positif dalam kehidupan.

Sumber : Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.