Jojo One Nation Emcees Meninggal Dunia di Masjid
Pagi ini, dunia seni tanah air dikejutkan dengan berita pemergian Jojo, anggota kumpulan One Nation Emcees. Jojo atau nama sebenarnya Nur Hasan Balas dilaporkan meninggal dunia selepas rebah di Masjid Sri Petaling. Kejadian dipercayai berlaku akibat serangan jantung ketika beliau menghadiri majlis Ijtimak Qudamak Seri Petaling.
Berita sedih ini disahkan oleh rakan baiknya, Mimi Fly. Menurut Mimi, Jojo pernah mengalami strok beberapa bulan lalu. “Baru tadi isteri Jojo, yang berada di Taiping, hubungi saya. Buat masa ini, saya belum tahu lebih lanjut tentang kejadian ini,” kata Mimi.
Tambah Mimi lagi, Jojo adalah seorang sahabat yang baik dan mereka baru sahaja berbincang tentang rancangan untuk memulakan perniagaan bersama sempena Hari Raya. Walaupun tinggal berjauhan, hubungan mereka tetap rapat menerusi panggilan telefon.
Kehilangan Jojo pastinya dirasai, terutama oleh peminat One Nation Emcees yang pernah mencipta nama melalui lagu-lagu hit mereka.
Takziah diucapkan kepada keluarga Jojo. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Sumber : Kosmo
Post a Comment