Asrama Maahad Tahfiz An Nur Terbakar, Pelajar Selamatkan Diri
MERBOK: Satu kejadian kebakaran melibatkan asrama pelajar perempuan Maahad Tahfiz An Nur, Merbok, berlaku awal pagi tadi, mengakibatkan bangunan tersebut musnah hampir 80 peratus.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 4.19 pagi itu menyaksikan pelajar perempuan yang menghuni asrama tersebut sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ismail Mohd Zain, pihaknya segera menghantar sepasukan 12 anggota ke lokasi, dengan bantuan enam anggota dari BBP Aman Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bedong.
"Api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 30 minit. Tiada sebarang mangsa berada di dalam asrama ketika kejadian," jelasnya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Al Busyra, Merbok, Firdaus Firabib, memaklumkan bahawa semua pelajar perempuan kini ditempatkan di masjid dalam keadaan sehelai sepinggang.
Kejadian ini mendapat perhatian ramai, dengan orang awam turut tampil menawarkan bantuan kepada pelajar-pelajar yang terjejas.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi pihak masjid atau maahad tahfiz untuk maklumat lanjut.
Sumber : Berita Harian
Post a Comment