Header Ads

Sindiket Syabu RM7.8 Juta Tumpas di Terengganu

SETIU – Polis Terengganu berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan rampasan terbesar tahun ini melibatkan dadah jenis syabu bernilai RM7.8 juta. Operasi tersebut dijalankan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Rahmat pada pagi Ahad.

Foto : Kosmo Online
Foto : Kosmo Online

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, rampasan sebanyak 244 kilogram (kg) dadah jenis syabu ini merupakan rekod terbesar di negeri itu setakat ini.

Lari Tinggal MPV di Tepi Jalan
Cerita bermula apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dilihat dalam keadaan mencurigakan dan berhenti secara mengejut kira-kira 100 meter dari lokasi operasi trafik (snap check) sekitar jam 9 pagi.

“Bila pasukan trafik menghampiri MPV itu, seorang lelaki tiba-tiba keluar dari kenderaan dan terus lari ke dalam kebun kelapa sawit,” kata Datuk Mohd Khairi.

Pihak polis, dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Setiu, berjaya membuka pintu MPV tersebut. Pemeriksaan menemui sejumlah besar dadah yang disyaki syabu dalam kenderaan tersebut.

244kg Syabu Ditemui dalam MPV
Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat enam guni berisi 35 peket plastik berwarna perak atau keemasan, kesemuanya seberat 210 kg. Selain itu, satu guni putih dengan 30 peket plastik berisi 30 kg syabu dan satu beg plastik mengandungi empat peket lagi seberat 4 kg turut ditemui.

“Keseluruhan rampasan dadah ini boleh digunakan oleh 1.2 juta orang. Memang sangat besar,” jelasnya.

Kenderaan Kedua Ditemui di Ladang Sawit
Dalam operasi yang sama, polis mengesan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton kira-kira 1 kilometer dari lokasi MPV tersebut. Suspek cuba merempuh anggota polis, namun tayar kenderaan berjaya ditembak.

Walaupun begitu, pemandu sempat melarikan diri, meninggalkan kenderaan itu terkunci di ladang kelapa sawit. Dengan bantuan bomba, pintu kenderaan berjaya dibuka, dan nombor plat asal Toyota Vellfire ditemui di dalam Triton tersebut.

Dari Kelantan ke Lembah Klang
Siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari Kelantan untuk dihantar ke kawasan luar Terengganu, termasuk Lembah Klang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman berat jika sabit kesalahan.

Polis kini giat mencari suspek dan pemilik kenderaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Sumber : Sinar Harian

Dikuasakan oleh Blogger.