Pasangan Pengasas FashionValet Dapat Pasport Sementara Untuk Tunaikan Umrah
KUALA LUMPUR: Permohonan pasport sementara bagi pengasas platform e-dagang terkenal, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, telah diluluskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Permohonan ini diluluskan bagi membolehkan pasangan tersebut menunaikan umrah di Arab Saudi.
![]() |
Sumber Foto : Kosmo |
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan tersebut pada hari Selasa setelah meneliti permohonan peguam pasangan itu, Ashok Athimulan, tanpa sebarang bantahan dari pihak pendakwaan. Pasport mereka akan diserahkan mulai hari ini dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari.
Peguam pasangan itu memaklumkan bahawa mereka merancang untuk bertolak pada 5 Januari dan pulang pada 14 Januari. Oleh itu, pasport diperlukan segera untuk memudahkan urusan visa dan persiapan perjalanan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, tidak membantah permohonan tetapi menimbulkan persoalan mengenai sama ada rancangan umrah tersebut dibuat sebelum atau selepas pertuduhan. Fadzaruddin menjelaskan bahawa mereka hanya merancang umrah selepas pertuduhan terhadap mereka.
Pada 5 Disember lalu, pasangan ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah yang melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta. Kesalahan itu didakwa berlaku pada 21 Ogos 2018, di mana dana tersebut dipindahkan tanpa kelulusan daripada lembaga pengarah syarikat FashionValet ke syarikat lain.
Kes pasangan ini akan disambung pada 22 Januari 2024.
Sumber : Awani
Post a Comment