Lelaki Terengganu Jalani Sebatan Khalwat : Kes Ketiga Jadi Pengajaran
Seorang lelaki berusia 42 tahun di Terengganu telah menjalani hukuman sebat di khalayak ramai selepas didapati bersalah atas kesalahan khalwat buat kali ketiga. Hukuman ini dilaksanakan di Dewan 'Aasim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, selepas solat Jumaat pada 27 Disember 2024.
Lelaki tersebut, seorang duda dengan lima anak, tiba di dewan masjid pada jam 2.28 petang dengan pakaian lokap berwarna merah dan pelitup muka, diiringi oleh pegawai Penjara Marang. Sebelum hukuman dilaksanakan, beliau menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan. Hadirin yang berada di dewan tidak dibenarkan membawa sebarang peranti komunikasi, termasuk telefon pintar, dan kawalan ketat oleh pihak polis telah dilaksanakan.
Hukuman enam sebatan tersebut dilaksanakan pada jam 2.50 petang menggunakan rotan di belakang badan dan selesai dalam masa dua minit. Selepas itu, lelaki tersebut dibawa semula ke bilik khas sebelum meninggalkan masjid dengan van penjara pada jam 3.01 petang. Walaupun orang ramai memenuhi perkarangan masjid, situasi terkawal sepanjang pelaksanaan hukuman berlangsung.
Pada 20 November lalu, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, selepas lelaki itu mengaku bersalah mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022. Ini merupakan kesalahan ketiga tertuduh, di mana pada 19 Februari lalu, beliau dijatuhkan empat sebatan secara tertutup dalam penjara dan didenda RM3,000 kerana kesalahan khalwat kali kedua, selain pernah didenda RM2,700 untuk kesalahan sama pada 11 Julai 2023.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari lalu, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.
Sumber : Bernama
Post a Comment