Header Ads

Kemalangan Jeju Air : Tragedi di Lapangan Terbang Muan

Tragedi menyayat hati melibatkan pesawat Jeju Air telah mengejutkan rakyat Korea Selatan pada pagi Ahad lepas. Kejadian berlaku sekitar jam 9:00 pagi waktu tempatan (12:00 tengah malam GMT) di Lapangan Terbang Muan, di mana pesawat tersebut mendarat tanpa roda, terbabas melepasi landasan, dan merempuh dinding perimeter sebelum terbakar.

Sumber foto : BBC

Bagaimana Ia Berlaku?

Menurut laporan awal, tiada tanda-tanda masalah teknikal atau penyelenggaraan semasa pesawat berlepas. Namun, gangguan burung menjadi faktor utama kejadian. Juruterbang yang berpengalaman lebih 6,800 jam penerbangan terpaksa membatalkan percubaan pertama untuk mendarat.

Pada percubaan kedua, juruterbang sempat mengeluarkan isyarat kecemasan (mayday) sebelum pesawat terhempas. Media tempatan melaporkan bahawa burung yang tersangkut di sistem pesawat dipercayai telah merosakkan gear pendaratan. Malah, seorang penumpang sempat menghantar mesej kepada keluarganya mengatakan ada burung tersangkut di sayap pesawat.

Reaksi Dari Pihak Berkuasa

Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok, yang baru sahaja dilantik, melawat lokasi kejadian dan menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa.

“Saya menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada semua mangsa. Kami akan melakukan segala usaha untuk memastikan mangsa yang cedera pulih segera,” ujar beliau.

Insiden ini menjadi tragedi penerbangan terburuk Korea Selatan sejak nahas Korean Air di Guam pada 1997 yang mengorbankan lebih 200 nyawa. Bagi Jeju Air, ini adalah kejadian maut pertama sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2005.

Permohonan Maaf Jeju Air

Dalam sidang media pada hari kejadian, pengurusan Jeju Air tampil memohon maaf secara terbuka. Mereka kelihatan amat berdukacita dengan insiden ini, memberikan tunduk hormat sebagai tanda kesedihan.

“Kami memohon maaf yang sedalam-dalamnya kepada semua pihak yang terjejas. Kami akan bekerjasama penuh untuk menyelesaikan situasi ini,” kata mereka dalam kenyataan rasmi.

Rekod Keselamatan Dipersoalkan

Industri penerbangan Korea Selatan sebelum ini dikenali sebagai antara yang terbaik dari segi keselamatan. Namun, kemalangan ini telah mencetuskan kebimbangan. Jeju Air, salah satu syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di negara itu, kini berdepan cabaran besar untuk memulihkan keyakinan pelanggan.

Sementara itu, Boeing Airlines, pengeluar pesawat 737-800 yang terlibat, telah menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dalam siasatan.

Sumber : BBC

Dikuasakan oleh Blogger.