Header Ads

Akhirnya Kantoi : Suspek Lawan Arus di LDP Ditahan Bersama Syabu

Dua lelaki ditahan selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Kilometer 16 Lebuhraya Damansara-Puchong dengan memandu melawan arus. Mereka dikejar polis sejauh 35 kilometer sebelum ditahan di Jalan PJU 1a/1 Ara Damansara.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar, kejadian berlaku pada 26 Disember 2024 sekitar jam 11:32 pagi. Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Petaling Jaya mengejar kereta Proton Satria yang dinaiki suspek selepas mereka melanggar kereta MPV polis dan sebuah motosikal milik orang awam.

Pemeriksaan lanjut menemui dadah dipercayai syabu seberat 12.87 gram dan senjata jenis 'electric shock wave' dalam kenderaan suspek. Pemandu kenderaan, berusia 30 tahun, mempunyai 11 rekod jenayah dan lima rekod berkaitan narkotik, manakala penumpang berusia 29 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Petaling Jaya dan disiasat di bawah beberapa seksyen, termasuk Seksyen 307/186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Sumber : Bernama

Dikuasakan oleh Blogger.